Rabu, 11 Februari 2009
APABILA GENTA ITU BERBUNYI
SELASA dan Rabu adalah hari-hari yang benar-benar merusuhkan jiwa saya. Merusuhkan kerana saya terpaksa berhadapan dengan enam orang pegawai audit yang diarahkan untuk melengkapkan tugas-tugas ISO2001. Saya terpilih melalui proses audit dalaman staff. Hal ini bermakna saya pada hakikatnya sedang berhadapan dengan proses akur janji yang saya telah bersetuju untuk tidak mengingkarinya sewaktu saya mula-mula melaporkan diri bertugas di wilayah negeri ini. Kata rakan-rakan sarjana, "itu prosedur biasa."
Saya tidak terperanjat kerana saya telah dimaklumkan dua minggu lebih awal. Oleh itu, saya telah bersedia dengan segala kemungkinan-kemungkinan dan jawapan. Dan, pada hari yang dijanjikan dan telah saya lalui itu, saya didapati telah berjaya memberikan kerjasama yang baik; kerja-kerja saya selama 3 tahun diakui memberangsangkan dan berjaya melangkaui tahap penggredan sumber manusia. Walau bagaimanapun, ada suatu perkara yang sukar untuk saya terima apabila saya didapati bersalah kerana dituduh tidak setia sepenuhnya kepada kerajaan.
Saya tidak diberi ruang dan kesempatan untuk menjawab atau menerangkan akan perkara itu. Saya hanya diminta menandatangani sehelai kertas berwarna pink yang saya sendiri tidak diberi peluang untuk membacanya. Kata pegawai itu, "ini produser biasa."
Wah, malamnya sebelum tidur saya mengingati semula peristiwa yang saya lalui dua hari itu. Saya menguntum senyum sambil berteka-teki dengan frasa, 'ini prosedur biasa'. Frasa itu masih terngiang-ngiang dan wajah enam orang itu berkaca-kaca dalam bayangan saya.
Telefon bimbit saya berdering. Saya segera merenung nama yang tertera pada skrin telefon bimbit saya. Melihat nama itu, saya biarkan deringan itu berhenti sendiri. Selepas itu, saya tidak sedar apa-apa yang berlaku. Saya lena dalam kemerduan genta yang berbunyi.
Adakah saya tidak setia kepada kerajaan atau kerajaankah yang tidak setia kepada saya seorang rakyat yang ingin mendaulatkan bahasa Melayu dan nasib bangsanya?
Siapakah yang tidak setia? Saya atau kerajaan saya?
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
2 ulasan:
Saudara Shamsudin,
Perjuangan yang hebat
adalah melalui liku-liku
cabaran yang kental.
Semoga lebih cekal
menghadapi esok.
HHM.
Sdr SO: Yang aku pelik, tanpa kaubaca apa yang ditulis di kertas itu, kau tandatangan juga. Apa ini? Kautahukah apa hak kau? Bukankah kaupunya hak untuk menolak? Atau kau memang sudah mabok dengan gelar yang diberi kawan-kawan sebagai "pejuang"? Pejuang apa, eh? Aku sekadar menginatkan sebagai sahabat sahaja. Tidak tahu kauboleh terima atau tidak.
Catat Ulasan